Imam Masjidil Haram 
‘pertama’ tarawih di Malaysia - Utusan Malaysia

Imam Masjidil Haram 
‘pertama’ tarawih di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bulan Ramadan merupakan bulan yang kesembilan dalam bulan-bulan Islam dan ia merupakan bulan yang paling afdal. Bahkan di dalam bulan ini, Allah SWT melipatkan gandakan pahala bagi hamba-hambanya yang melakukan kebaikan.

Nabi Muhammad SAW turut menyatakan bahawa Ramadan merupakan bulan bagi umatnya di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya bagi umatnya untuk beramal dan beribadah yang tulus dan ikhlas kerana Allah SWT.

Masyarakat Arab terdahulu menamakan bulan Ramadan kerana bertepatan dengan cuaca pada bulan itu yang sa­ngat panas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan hanya di Mekah yang merasai kepanasan ini, bahkan seluruh semenanjung Arab turut merasai bahang yang panas ini,

Sehingga dikatakan, sekiranya ada manusia yang berjalan di tengah padang pasir tanpa memakai apa-apa alas kaki, pastinya kaki akan terasa kepanasan. Maka bersesuaian dengan suhu yang amat panas, mereka meletakkan nama Ramadan bagi bulan yang ke­sembilan ini.

Sepanjang bulan Ramadan salah satu ibadah yang digalakkan untuk Umat Islam me­lakukannya ialah solat tarawih.

Solat tarawih atau solat malam (qiyamullail) dikenali juga sebagai Qiyam Ramadan. Solat tarawih merupakan solat fardu Isyak dan sebelum ma­suk waktu subuh.

Di Malaysia, kebiasaannya solat tarawih ini dikerjakan sebanyak 11 rakaat termasuk witir atau 20 rakaat dengan tiga witir secara berjemaah di masjid.

Masjid-masjid dan surau-surau menjadi tumpuan masyarakat beragama Islam daripada golongan muda hingga ke tua untuk menunaikan ibadah tarawih bagi mendapatkan keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.

Bayangkan suasana di mana keluarga, sahabat dan anak-anak akan bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat tarawih bersama jiran-jiran.

Inilah keistimewaannya bulan Ramadan, bukan sahaja dapat menambah baik hubungan kita dengan Allah SWT malah berpeluang untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga dan Islam apabila kita menunaikan ibadah solat tarawih.

Keindahan bulan Ramadan turut dilaporkan oleh Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 30 Disember 1998 memuatkan berita “Imam Masjidil Haram ketuai tarawih di Kampung Baru”.

Dalam laporan itu, dua imam dari Masjidil Haram bersama-sama umat Islam di Malaysia untuk memimpin solat tarawih di Masjid Jamek Kampung Baru.

Dua imam itu ialah Uztaz Mohamed Idris dan Ustaz Abdul Hameed Al-Hamdani, kedua-dua didatangkan dari Pusat Darul Arqam yang dikendalikan kerajaan Arab Saudi.

Mereka merupakan guru agama dan al-Quran di Masjidil Haram.

Pengerusi jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru ketika itu, Aziz Jamaluddin Mohd. Tahir berkata, ini merupakan pertama kali pusat itu menghantar imamnya untuk aktiviti sedemikian di Masjid Kampung Baru.

“Darul Arqam di Mekah tidak boleh disamakan dengan pergerakan yang menggunakan nama yang sama di Malaysia,” katanya.

Kedua-dua imam ber­kenaan yang mempelajari al-Quran sejak berusia tujuh tahun, menerima pentauliahan dari Darul Arqam untuk menjadi imam di seluruh dunia.

Setiap tahun, pusat Darul Arqam menghantar guru-guru al-Quran ke Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Asia bagi menjalankan tugas imam serta merapatkan hubungan silaturahim antara umat Islam.

Mohamed pernah bertugas di Halifax, England pada tahun 1996 manakala Abdul Hameed pula di Los Angeles, Amerika Syarikat.

MOMEN 
& MEMORI

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini