MENJAGA penampilan diri amat penting apatah lagi bagi tujuan menambat hati pasangan masing-masing.
Mungkin ramai yang beranggapan apabila sudah berumah tangga, isteri akan menerima suami seadanya, begitu juga sebaliknya.
Namun, tanggapan itu meleset sama sekali kerana realitinya terdapat kes penceraian berpunca daripada ketidakpuasan hati suami atau isteri terhadap pasangan yang tidak lagi berpenampilan menarik terutama dari segi bentuk badan.
Menjadi lumrah bahawa manusia sukakan kepada kecantikan dan keindahan. Islam sendiri menekankan soal penjagaan dan penampilan diri.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan mencintai keindahan.” – Riwayat Bukhari
Menurut pendakwah muda, Mohd. Arif Afifi Mohamad Sukri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fitness, suami dan isteri adalah cerminan antara satu sama lain yang seharusnya saling melengkapi.
Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah ayat 187 bermaksud: “… mereka (isteri-isterimu) merupakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka ….”
Ayat tersebut kata beliau, jelas menunjukkan bahawa suami atau isteri wajib menjaga aib dan maruah pasangan masing-masing.
Ia bukan sahaja berkait dengan hal-hal peribadi, tetapi juga meliputi soal penjagaan fizikal, tatacara kekemasan dan pengurusan pakaian seharian bagi menghindarkan diri daripada tohmahan.
“Sekalipun terdapat suami atau isteri tidak kisah tentang soal penampilan diri, namun sebagai seorang Muslim yang baik, tidak salah untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Menjaga penampilan diri bukan sekadar mahu menawan hati pasangan agar rumah tangga lebih kekal bahagia.
“Lebih daripada itu, gaya hidup sihat dengan mengawal cara pemakanan dan melakukan aktiviti fizikal dapat meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan sekali gus mengurangkan risiko menghidap penyakit berbahaya,” katanya yang berjaya menurunkan berat badan sehingga 40 kilogram daripada berat asal 125 kg.











