IPOH 5 Mei – Jawatankuasa Pengurusan Masjid Muhammadiah yang terletak di Taman Tasek Jaya di sini akan menganjurkan majlis iftar atau berbuka puasa sepanjang Ramadan ini yang juga boleh dihadiri oleh masyarakat bukan Islam.
Majlis iftar tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Masjid Muhammadiah dan Persatuan Cina Muslim (Macma) Cawangan Ipoh.
Timbalan Pengerusi Masjid Muhammadiah, Mohd. Hafiz Ng memberitahu, pihaknya akan menyediakan juadah bagi menjamu seramai antara 400 hingga 600 orang setiap hari.
Menurut beliau, pihak pengurusan masjid turut mempelawa masyarakat berlainan agama terutama dari kejiranan setempat untuk berbuka dan sama-sama meraikan kemeriahan sambutan Ramadan.
“Memang menjadi amalan Masjid Muhammadiah atau juga dikenali sebagai Masjid Cina mengadakan majlis iftar sehinggalah menjelang malam Hari Raya.
“Juadah berbuka seperti masakan Melayu, masakan Cina dan juga Bangladesh yang kebiasaannya disediakan oleh kariah secara gotong-royong,” ujarnya.
Katanya, majlis acara iftar itu juga bagi mewujudkan suasana ukhwah sesama umat Islam selain memberi gambaran bagaimana indahnya Ramadan kepada lain-lain bangsa.
“Pada masa sama kita turut mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menaja majlis berbuka puasa ini.
“Pihak berkenaan boleh menghubungi jawatankuasa masjid menerusi talian 012-5713 120,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











