Ibu pukul anak kerana buang air besar - Utusan Malaysia

Ibu pukul anak kerana buang air besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Polis sedang memburu seorang wanita berusia 42 tahun selepas dipercayai mendera tiga anaknya di sebuah unit di Rumah Transit UDA Tanjung Tokong di sini baru-baru ini.

Suspek yang merupakan ibu tunggal yang telah bercerai itu dipercayai melarikan diri selepas memukul anak perempuannya berusia dua dan 11 tahun serta lelaki berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila anak bongsunya telah membuang air besar di dalam rumah sehingga membuatkan suspek berang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiga beradik itu telah pergi ke rumah nenek mereka yang terletak bersebelahan kira-kira pukul 11 pagi baru-baru ini dan menceritakan bahawa mereka telah dipukul kerana adik bongsu membuang air besar selain mereka diugut mahu dibunuh dengan pisau.

“Suspek dikatakan memukul anaknya berusia 11 tahun pada lengan sebelah kiri, manakala anak lelakinya telah ditendang pada kemaluan serta adik mereka dipukul pada belakang badan, dicubit, ditampar pada perut dan pipi sebelum mereka lari ke rumah nenek,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini bagi mendapatkan rawatan dan kanak-kanak berusia 11 tahun itu didapati lebam pada lengan kiri, manakala dua lagi adiknya tiada kesan lebam.

Che Zaimani berkata, pihak polis kini dalam usaha mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri ke Kedah bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini