SUDAH berlalu fasa pertama Ramadan al-Mubarak yang dipenuhi dengan kerahmatan. Hari ini kita sudah berada di fasa kedua yang dilimpahi dengan keampunan daripada Allah SWT dan fasa ketiga adalah kemerdekaan, pembebasan daripada api neraka. Sepanjang berada di madrasah Ramadan tahun ini saya menekuni catatan sirah dengan membuka safhah demi safhah sirah baginda Rasulullah SAW dan para sahabat. Saya cukup tertarik dengan Ghazwah Uhud, boleh dijadikan pedoman perjuangan UMNO di saat ketewasan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) lalu.
Ghazwah Uhud berlaku pada Syawal tahun ketiga hijrah (625 Masehi) disertai 1,000 orang tentera Islam dipimpin Rasulullah SAW tetapi 700 orang sahaja berjaya sampai ke medan Uhud. Seramai 300 orang telah berpatah balik ke Madinah setelah dihasut Abdullah bin Ubai. Tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang diketuai Abu Sufyan ibni Harb.
Tentera Islam yang syahid dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang. Bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib syahid dibunuh seorang hamba bernama Wahsyi. Rasulullah SAW berasa amat sedih dan memerintahkan agar yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian mereka pakai ketika berperang. Inilah kali pertama tentera Islam tewas dalam peperangan setelah diberikan kemenangan besar dalam Ghazwah Badar al-Kubra.
Pedoman cukup berharga untuk kita kaji dan fahami di sebalik ketewasan tentera Islam di medan Uhud antaranya: Kepatuhan kepada arahan pemimpin. Ghazwah Uhud menyaksikan tentera pemanah mengingkari arahan Rasulullah SAW agar tidak berganjak dari kedudukan mereka walau apapun terjadi. Tentera musyrik berjaya menukar kekalahan pada permulaan pertempuran kepada kemenangan kerana keingkaran tersebut. Demikian kesannya melanggar perintah pemimpin hingga boleh melenyapkan peluang dan memberi kemenangan kepada musuh.
Saya tertarik dengan pandangan Presiden Pas ketika ditemubual oleh wartawan mengenai Muktamar Pas 2019, katanya: “Seruan saya bila kita berada dalam parti, bermakna kita berjemaah, kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam. Kalau imam silap kita boleh tegur, selagi tak batal solat. Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda salah dari segi solat jemaah”
Dalam perjuangan kita perlu sedar, ada perkara dasar kita tidak boleh pertikai, seperti asas perjuangan dan akidah. Manakala perkara furu (cabang) boleh diperdebat dan dibincang tetapi jangan sampai mewujud perpecahan dan perbalahan. Sejak diamanahkan menerajui UMNO, saya sentiasa menjadikan Perlembagaan UMNO sebagai rujukan dalam menyelesai kemelut parti dan sebarang keputusan diambil secara konsensus.
Nikmat kemenangan telah kita rasai sejak PRU pertama sehingga PRU-13. Janganlah hanya dengan hilangnya kuasa dan pemerintahan telah melemahkan kita untuk meneruskan perjuangan suci ini. Kita jadikan semangat yang Allah SWT tiupkan kepada pejuang di Uhud sebagai landasan menyusun dan mengatur strategi perjuangan.
Peranan wanita jangan diperkecilkan. Dalam peperangan Uhud, keteguhan Nasibah, Ummu ‘Amarah bersama suami dan anak-anaknya untuk tetap berdiri mengelilingi Rasulullah SAW ketika pertahanan tentera Islam bolos, menjadi satu bukti penglibatan besar wanita Islam dalam perjuangan dakwah Islam. UMNO dari awal penubuhannya sentiasa meletak wanita sebagai benteng utuh perjuangan. Peranan Wanita UMNO sentiasa diperkasa bukan hanya sebagai mata dan telinga UMNO dalam menyelesaikan masalah setempat, malah mampu menjadi orang paling lantang memperjuangkan agenda ummah. Begitu juga Pemuda dan Puteri sebagai sayap yang sentiasa seiring mendukung wadah perjuangan Wanita.
Ujian dalam perjuangan di Uhud, Rasulullah SAW sendiri telah cedera, ia sememangnya memberi perangsang kepada pejuang Islam agar bersabar menghadapi segala cabaran menimpa. Sama ada ujian berbentuk fitnah, tuduhan, kesakitan tubuh badan, sekatan kebebasan perjalanan, ditangkap atau dipenjara mahupun dihukum mati atau dibunuh.
Bukan pejuang jika tidak pernah diuji. Hari ini pimpinan UMNO diuji dengan pelbagai tohmahan, prasangka negatif dan pendakwaan. Inilah harga sebuah perjuangan yang perlu dibayar setiap pejuang UMNO. Doakan semoga kami mampu mengharungi ujian dalam perjuangan ini dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Ini hanyalah secebis daripada ibrah Ghazwah Uhud untuk kita renungi dan teladani. Ambil peluang di fasa kedua madrasah Ramadan kali ini sebagai ruang untuk memohon keampunan daripada Allah atas segala kekhilafan lalu.
AHMAD ZAHID HAMIDI #demiummah #akhiratdidepan #akhiratdidepan











