Hormati keputusan Kabinet, Syed Saddiq pertahan Dr. Maszlee - Utusan Malaysia

Hormati keputusan Kabinet, Syed Saddiq pertahan Dr. Maszlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 22 Mei – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan semua pihak perlu menghormati keputusan Kabinet berhubung isu kuota kemasukan bumiputera ke program matrikulasi.

Syed Saddiq berkata, perkara itu sudah dimuktamadkan menerusi keputusan secara konsensus dalam jemaah menteri sebelum ini dan tidak sepatutnya berlaku situasi ‘tembak-menembak’ dalam kalangan komponen.

Menurutnya, sebagai gabungan yang sudah membentuk kerajaan, perkara-perkara seperti itu harus dibincangkan dalam Kabinet dan bukan secara terbuka seperti yang berlaku ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sekarang kerajaan bukan lagi dalam pembangkang, ‘tembak-menembak’ ini tidak patut berlaku walaupun kritikan yang membina memang perlu tetapi kalau sudah sampai ke tahap ini ia tidak lagi masuk akal.

“Malah, ini keputusan bersama… Kalau Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tak bersetuju (mereka) boleh tanya menteri-menteri mereka yang juga berada dalam jemaah menteri,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Konsultasi Kementerian Belia dan Sukan Bersama Belia di Kubang Rotan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmirul Anuar Aris.

Beliau mengulas gesaan Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How yang mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menarik balik kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.

Sehubungan itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara terbuka mempertahankan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

“Saya tetap mempertahankan bukan sahaja Dr. Maszlee tetapi juga keputusan Kabinet demi kepentingan semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa dukacita dengan kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang disifatkan amat dirasai bagi penggiat sukan tanah air kerana pembabitan meluas almarhum dalam bidang sukan terutama bola sepak serta hoki.

“Jasa bakti almarhum dalam bola sepak sangat besar, berpuluh tahun pengalamannya sehingga beliau mengetuai pimpinan bola sepak di peringkat asia.

“Baginda amat dihormati di seluruh dunia, ke mana kita pergi tokoh-tokoh sukan terutama dari negara Arab memandang tinggi dan menghormati almarhum,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini