Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam hanya gimik - Utusan Malaysia

Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam hanya gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang akan diadakan esok di pekarangan Masjid Jamek di sini hanyalah satu gimik pembangkang untuk memburukkan imej Pakatan Harapan.

Menurut Muhyiddin, tiada sebarang halangan untuk mereka mengadakan perhimpunan aman selagi penganjur dapat memberi jaminan untuk patuh pada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Bagaimanapun, saya hairan akan tindakan mereka yang ingin berhimpun di atas pandangan bahawa kedaulatan agama Islam di Malaysia terancam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya ia hanyalah satu usaha provokasi kerana kita sentiasa berpegang pada apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi dan haruslah sentiasa dilindungi,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abd. Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, serta yang diraikan, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Negara ke-12, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. 

Susulan penyerahan terima tugas jawatan Ketua Polis Negara itu, turut diadakan adalah upacara serah terima tugas bagi jawatan Pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman di antara Abdul Hamid dengan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Ramli Hassan yang disaksikan oleh Alwi.

Jelas Muhyiddin, sejak dulu hingga kini tiada sebarang bukti bahawa agama Islam terabai atau kedudukannya sudah diruntuhkan oleh Pakatan Harapan.

“Saya percaya ini hanyalah satu gimik politik. Jika betul-betul berjuang untuk kebajikan agama Islam, ke mana mereka pergi sewaktu isu melibatkan Tabung Haji berbangkit?.

“Akhirnya Pakatan Harapan juga yang mengambil tanggungjawab menyelesaikannya dengan membayar sejumlah wang yang besar kira-kira RM17 bilion,” ujarnya.

Tambahnya, agama Islam tidak berada di dalam keadaan terancam dan akan melakukan yang terbaik bagi melindunginya memandangkan beliau juga merupakan seorang muslim.

“Saya tidak akan reda sekiranya terdapat sebarang usaha untuk merobak-rabikkan kedudukan agama Islam dalam apa cara sekalipun,” tegas beliau.

Terdahulu, Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam yang merupakan anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) diselia UMNO dan Pas dijadual akan diadakan esok di pekarangan Masjid Jamek.

Penganjur himpunan tersebut merancang untuk berarak ke perkarangan pusat beli-belah Sogo di ibu negara kira-kira pukul 1 tengah hari hingga 4 petang bagi mambangkitkan beberapa isu antaranya adalah membantah ancaman terhadap kedudukan agama Islam, isu Statut Rom, menuntut keadilan untuk Allahyarham anggota bomba, Muhamad Adib Mohd. Kassim. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini