MADRID 29 Mei – Pada 2009, Son Heung-min sanggup berjaga pada pukul 4 pagi (waktu Korea Selatan) untuk melihat idolanya, Park Ji-sung membantu Manchester United menentang Barcelona dalam final Liga Juara-Juara.
Selepas 10 tahun berlalu, Heung-min teruja dapat mengikut jejak Ji-sung dan dia tahu bagaimana keterujaan peminat di Korea untuk melihat pemain mereka mendakap kejuaraan berprestij itu.
Heung-min bakal menjadi watak penting Tottenham apabila berdepan Liverpool di Stadium Wanda Metropolitan, Madrid, Sabtu ini (3 pagi Ahad waktu Malaysia).
Jutaan rakyat Korea Selatan dijangka bersengkang mata untuk menonton perlawanan terbesar dalam kelab dunia itu di kaca televisyen.
Kata Heung-min, 27, dia berjaga setiap tahun untuk menonton perlawanan itu dan detik paling mengujakan adalah apabila melihat Ji-sung muncul pemain Asia pertama beraksi di pentas akhir pada 2009. United bagaimanapun kalah 0-2.
“Perlawanan itu amat besar di Korea Selatan kerana Park menjadi pemain Asia pertama beraksi di pentas akhir.
“Ketika menonton perlawanan itu, saya mula memasang impian suatu hari nanti saya mahu melakukan perkara yang sama. Saya sentiasa mengimpikan untuk memenangi sesuatu atau meraih anugerah pemain terbaik.
“Saya tahu betapa besarnya makna Liga Juara-Juara buat rakyat Korea apabila ada pemain mereka beraksi di pentas akhir.
“Sabtu ini, saya akan cuba untuk tidak mengecewakan mereka yang sanggup bersengkang mata awal pagi demi menonton perlawanan,” katanya. – AGENSI











