MADRID 28 Mei – Presiden Real Madrid, Florentino Perez, sangat berharap bintang Chelsea, Eden Hazard dapat menyertai gergasi LaLiga itu musim depan.
Sepanjang musim ini, nama Hazard terus dikaitkan dengan Madrid dan pemain Belgium itu dilaporkan sudah bersedia untuk ke Santiago Bernabeu dengan yuran perpindahan berjumlah 130 juta pound (RM609.4 juta).
Begitupun, Perez menegaskan tiada perbincangan lanjut mengenai Hazard buat masa ini kerana menghormati Chelsea yang sedang melakukan persiapan untuk menentang Arsenal dalam final Liga Europa di Baku, awal pagi Khamis ini.
“Bagaimana kami mahu mengadakan perbincangan dengan kelab yang akan beraksi dalam final?.
“Kami sudah mencuba selama beberapa tahun untuk menjadikan Hazard pemain Real Madrid, namun kami masih belum memilikinya. Saya amat gembira jika Hazard menyertai Madrid dan berharap dia dapat melakukannya.
“Dia salah seorang pemain terbaik dunia,” kata Perez dalam temu bual dengan Onda Cero’s El Transistor.
Real Madrid bakal memanfaatkan jendela perpindahan musim panas ini dengan mendapatkan beberapa pemain terbaik selepas ketua jurulatih, Zinedine Zidane, bersedia untuk merombak pasukannya yang sekadar menamatkan musim ini di tangga ketiga LaLiga selain tersingkir di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah.
Turut dikaitkan dengan Madrid adalah gandingan Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dan Neymar tetapi belum ada sebarang perbincangan mengenai kedua-dua pemain tersebut. – AGENSI











