BARCELONA 28 Mei – Lionel Messi boleh menyelamatkan bos Barcelona, Ernesto Valverde daripada dipecat dengan kejam.
Valverde yang mengambil alih kelab Catalan itu pada 2017 berada di ambang pemecatan ekoran kekalahan Barcelona kepada Valencia dalam final Copa del Rey, Sabtu lalu.
Biarpun berjaya membawa Barcelona menjulang kejuaraan La Liga, namun jurulatih berusia 55 tahun itu gagal menghadirkan gelaran Liga Juara-Juara dan sekadar meraih satu trofi domestik.
Bagaimanapun menurut wartawan sukan Sepanyol, Eduardo Inda, Messi boleh menyelamatkan Valverde jika dia memilih untuk tampil mempertahankan pengurus kelahiran Sepanyol itu.
“Satu-satunya perkara yang boleh menyelamatkan Ernesto Valverde adalah jika Lionel Messi menghantar mesej jelas kepada pihak pengurusan, dia mahukan jurulatih kekal,” kata Inda kepada akhbar Sepanyol, El Chiringuito de Jugones.
Barcelona di ambang final Liga Juara-Juara selepas mengalahkan Liverpool 3-0 pada separuh akhir pertama, namun mereka pulang dari Anfield dengan kekalahan memalukan 0-4, sekali gus tersingkir secara agregat 3-4.
Kekalahan 1-2 kepada Barcelona dalam final Copa del Rey memburukkan lagi keadaan, sekali gus menyebabkan masa depan Valverde dalam bahaya. – AGENSI











