KUALA LUMPUR 1 MEI – Kurang lebih seminggu sahaja lagi, umat Islam akan menyambut Ramadan dan segmen bual santai, Jom Chat yang bersiaran secara live setiap hari Rabu, pukul 9 malam sehingga 10 malam akan menutup tirai malam ini dengan menampilkan tiga artis iaitu Hannymaru, Sherakamarul dan Arief Carlos.
Selama sebulan, Jom Chat yang dihoskan oleh Apak, akan berehat dan kembali bersiaran secara live di Facebook Utusan Online dan aplikasi Daily Motion selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Hannymaru yang baharu melahirkan single pertamanya berjudul Klise, dilihat sebagai pendatang baharu yang mempunyai potensi sebagai penyanyi wanita tanah air.
Manakala Sherakamarul atau pemilik nama sebenar, Fatin Syahirah Kamaru tampil bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi berkebolehan sebagai penari.
Menggunakan khidmat Fauzi Aisunam sebagai komposer dan penulis lirik bagi lagu berjudul DTP, anak jati Negeri Sembilan ini mengharapkan sinar selepas mendambakan diri dalam dunia seni kerana minat menyanyi dipupuk dalam dirinya sejak berusia sembilan tahun.
Bakat Arief Carlos dihidu menerusi penampilannya di YouTube ketika membuat rap untuk pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Maklumbalas daripada mereka yang menonton Arief di YouTube ialah “Brader ni rap SPM memang padu’.
Tonton Jom Chat malam ini dan berkenalan dengan ketiga-tiga artis baharu tanah air. – UTUSAN ONLINE











