Habitat marin yang kian terancam - Utusan Malaysia

Habitat marin yang kian terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik kerakusan kita melaksanakan projek pembangunan di serata tempat tanpa memikirkan kelestarian, banyak aset alam semula jadi semakin terancam, musnah atau hampir pupus.

Meskipun kita akui terdapat kejadian tersebut yang berpunca daripada faktor alam atau luar kawalan, tetapi masalah tangan-tangan manusia adalah faktor terbesar. Inilah isu yang semakin hangat diperbincangkan bahawa kita semakin kehilangan sumber dan aset semula jadi ekoran sikap kita yang tidak lagi mementingkan kelestarian.

Satu lagi aset marin yang tidak kurang pentingnya adalah batu karang atau terumbu karang yang menjadi habitat kepada haiwan marin. Isu karang terancam bukan baharu dan puncanya adalah aktiviti manusia di lautan selain isu perubahan iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terumbu karang merupakan khazanah tua milik negara yang sangat berharga. Hidupan marin unik ini hidup dengan subur di sekitar gugusan pulau-pulau yang terdapat di perairan negara.

Keindahan terumbu karang memang tidak dapat dinafikan lagi hingga mampu menggamit ramai pelancong dari seluruh pelosok dunia untuk berkunjung ke Malaysia. Banyak pulau di negara ini menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan batu karang.

Berbincang mengenai faktor alam, teori kemunculan karang semakin menarik. Jika faktor iklim menjadi punca kerosakannya, ada faktor lain menyebabkan nasib karang tidak menentu.

Disebabkan oleh biodiversitinya yang pelbagai, pakar-pakar ekologi marin sering kali merujuk ekosistem terumbu karang sebagai hutan hujan tropika dasar laut

Baru-baru ini satu kejadian yang boleh dianggap pelik dikesan di Sungai Bari, Setiu, Terengganu.

Umum tentu pelik sekiranya terdapat terumbu karang di kawasan daratan yang terletak agak jauh dari garis pantai.

Apa yang dimaksudkan dengan terumbu karang di kawasan daratan adalah merujuk kepada penemuan fosil-fosil terumbu karang di kawasan tersebut.

Menurut seorang penyelidik karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hasrizal Shaari, fosil-fosil terumbu karang tersebut ditemukan secara tidak sengaja oleh pekerja-pekerja ladang ketika menjalankan aktiviti pengorekan saliran air ke kawasan ladang sawit.

“Menurut pakar terumbu karang UMT, Dr. James Tan Chun Hong, fosil-fosil terumbu karang yang dijumpai di Sungai Bari adalah sama dengan terumbu karang hidup yang terdapat di perairan cetek sekitar pulau-pulau di negeri Terengganu.

“Penemuan menarik ini telah diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik UMT bersama Institut Geomaklumat dan Geologi, Geological Survey of Japan dalam Journal Quatenary Science pada 2014,’’ ujarnya.

Katanya lagi, analisis radiokarbon yang dijalankan oleh beliau ke atas fosil terumbu karang daripada spesies Galaxia sp. dan Acropora sp. menunjukkan usia bagi sampel-sampel fosil berkenaan adalah di antara 7,200 dan 6,900 tahun lepas.

Menariknya, usia terumbu karang yang direkodkan dalam kajian tersebut adalah sepadan dengan tempoh berlangsungnya fasa Aras Laut Tertinggi Pertengahan Holosen (Mid-Holocene Sealevel Highstand) iaitu satu fasa membabitkan aras laut khususnya di Pentas Sunda berada pada kedudukan tertinggi.

Kata Hasrizal lagi, berdasarkan beberapa pakar kajian paleosekitaran, fasa Aras Laut Tertinggi Pertengahan Holosen berlangsung antara 7,000 dan 4,000 tahun lepas.

Peningkatan mendadak aras laut ketika fasa ini berlaku disebabkan oleh kemasukan jumlah air tawar yang banyak ke lautan kesan pencairan ais pada skala besar di Hemisfera Utara.

Sekiranya diandaikan keadaan pasang surut yang berlaku pada 7,000 tahun dahulu adalah sama seperti hari ini, jangkaan aras laut di Sungai Bari ketika itu adalah di antara 1.4 dan tiga meter lebih tinggi dari aras laut semasa.

Kata beliau lagi, berdasarkan kepada penemuan tersebut, satu hipotesis mudah yang dapat dikemukakan ialah kawasan Sungai Bari, serta persisir Pantai Penarik di Setiu adalah sebahagian Laut China Selatan ketika berlangsungnya fasa Aras Laut Tertinggi Pertengahan Holosen.

Selain itu katanya, penemuan fosil-fosil marin yang terdiri daripada beberapa spesies terumbu karang dalam pelbagai bentuk, kerang-kerangan dan siput-siput menggambarkan bahawa kawasan Sungai Bari suatu masa dahulu pernah membentuk satu ekosistem terumbu karang yang subur.

“Namun terdapat satu sudut pandang yang perlu kita bimbangkan dengan penemuan terumbu karang ini iaitu tidak mustahil suatu hari nanti kawasan Sungai Bari akan kembali ditenggelami air laut sekiranya peningkatan aras laut terus berlaku dari tahun ke tahun.

Jika situasi ini berlaku, tentu kita boleh bayangkan beberapa kawasan rendahdi Malaysia seperti delta Sungai Kelantan, sekitar Perlabuhan Klang, pantai-pantai di Pulau Pinang dan beberapa lokasi rendah yang lain akan turutditenggelami,” ujarnya.

Kata beliau lagi, merujuk kepada laporan oleh Dr. Jonathan Gregory kepada Panel Antara Kerajaan Berkenaan Perubahan Iklim (IPCC) pada 2013 menunjukkan pola peningkatan aras laut berlaku pada kadar yang agak membimbangkan iaitu 1.5 milimeter setahun (1901-1990) dan 3.2 milimeter setahun (1993-2010). Unjuran terkini yang dibuat oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS pada Januari 2017 telah mengemukakan satu cadangan iaitu julat peningkatan purata bagi aras laut global pada abad ke-21 adalah di antara 0.3 dan 2.5 meter.

Beliau yang juga Pengarah Makmal Berpusat UMT dan pensyarah kanan bidang geokimia marin dan kajian paleo-iklim di Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT berkata, angka-angka yang diberikan itu sudah cukup untuk membuatkan kita terfikir akan suatu hari nanti sebahagian besar lot-lot tanah di kawasan rendah sekadar tinggal nama di atas geran sahaja.

Persoalannya, adakah berdasarkan penemuan fosil terumbu karang di Sungai Bari dan unjuran peningkatan aras laut yang semakin membimbangkan mampu membuatkan masyarakat kita berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku?

Sekiranya belum, satu langkah yang proaktif perlu disusun bagi mendepani masalah itu.

Dalam pada itu menurut Chun Hong, kerosakan terumbu karang berlaku di seluruh dunia.

Kata beliau, berdasarkan perspektif global, punca kerosakan yang utama adalah peningkatan suhu air laut yang tidak normal susulan kesan perubahan iklim.

“Contohnya, pemutihan batu karang secara besar-besaran berlaku pada 2016-2017 telah menyebabkan sesetengah batu karang di Australia Great Barrier Reef (GBR) mengalami sebanyak 90 peratus kematian terutama di kawasan utara.

“Ini merupakan kali ketiga pemutihan batu karang global berlaku dan kekerapan peningkatan suhu dijangka bertambah kesan perubahan iklim. Ia merupakan ancaman terbesar terhadap kesihatan terumbu karang,’’ ujarnya lagi.

Beliau menegaskan dari segi kawasan setempat (local level), ancaman-ancaman seperti pembangunan kawasan persisiran pantai yang tidak terancang, pencemaran dan pelancong yang tidak bertanggungjawab juga merupakan punca kerosakan karang.

Justeru, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan karang perlu kerjasama semua pihak termasuk penyelidik, pengurusan resort dan komuniti tempatan serta orang ramai untuk memastikan ekosistem yang sensitif dan bernilai tinggi ini dapat dikekalkan untuk masa depan.

Katanya, usaha perlu digerakkan dengan kadar segera khususnya di peringkat kepimpinan tertinggi negara dalam mencari satu resolusi yang berkesan.

“Ini kerana kita sudah boleh menjangkakan implikasi yang bakal di terima oleh Malaysia disebabkan oleh perubahan aras laut dunia yang sedang berlaku,’’ ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini