LONDON, England 19 Mei – Pep Guardiola percaya mencipta treble dalam kejohanan domestik lebih sukar buat Manchester City berbanding memenangi Liga Juara-Juara.
City menamatkan musim ini dengan meraih kemenangan Piala FA pada Sabtu selepas menewaskan Watford dengan keputusan 6-0, sekali gus menjadi gelaran ketiga pada musim ini diraih skuad bimbingan Guardiola.
Lebih membanggakan gelaran tersebut diraih enam hari selepas dijulang sebagai juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini dengan kelebihan satu mata daripada Liverpool.
“Ini adalah salah satu musim yang amat hebat buat saya sebagai seorang pengurus.
“Beraksi dalam 10 bulan menghadapi semua kejohanan, saya percaya tiada pasukan yang berupaya melakukannya di negara ini dan kami adalah yang pertama mampu melaksanakannya.
“Saya amat suka saingan Liga Juara-Juara namun memenangi tiga gelaran domestik adalah sesuatu yang cukup sukar berbanding memenangi Liga Juara-Juara.
“Bukan mudah untuk melakukannya terutama dalam tempoh 10 bulan sahaja kerana kami terpaksa bekerja lebih keras daripada biasa,” kata Guardiola. – AGENSI











