JAKARTA 21 Mei – Seorang wanita ditahan polis selepas didakwa menggodam dan mencuri daripada sebuah bank untuk membayar keperluan permainan video mudah alih dalam talian Mobile Legends sehingga mengakibatkan institusi kewangan itu mengalami kerugian 1.85 bilion rupiah (RM533,700).
Detik News yang memetik jurucakap ibu pejabat polis Metro Jaya, Ade Ary sebagai berkata, wanita yang dikenali sebagai YS dan tidak bekerja itu ditahan di Pontianak pada 1 Mei lalu.
Beliau memberitahu, berdasarkan keterangan awal, wanita itu mengaku melakukan transaksi dalam talian untuk membeli sesuatu berkaitan permainan Mobile Legends menggunakan akaun maya miliknya.
Namun selepas transaksi itu, YS mendapati baki wang dalam akaunnya tidak berkurangan.
“Menyedari baki akaunnya tidak berkurangan, wanita itu terus melakukan transaksi berulang kali, untuk tempoh kira-kira setahun sehingga mencecah 1.85 bilion rupiah (RM533,700),” katanya di sini kelmarin. – AGENSI











