KOTA TINGGI – Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta yang dikenali sebagai Jibam Makam dalam satu serbuan di premis bengkel kenderaan di kawasan Kampung Makam di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam serbuan pada pukul 11 malam itu, lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai tiga buah kereta yang disyaki dicuri. Satu laras senjata api jenis pump gun bersama lima butir peluru .38 milimeter (mm) dan empat butir peluru penabur.
“Turut sama ditemui dalam serbuan terbabit ialah dua peket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 72.7 gram (g) dan syabu seberat 3.3 g,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahsmon menambah, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada suspek yang ditahan positif dadah.
“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE











