MEMBUANG jauh sisi feminin, dua pendatang baharu industri hiburan Nusantara, Fify Azmi dari Malaysia dan Ismi Melinda, negara jiran Indonesia melakukan pengorbanan besar demi sebuah watak.
Pertama kali bergandingan menerusi naskhah berjudul Wira arahan Adrian Teh, Fifi yang menjayakan watak sebagai Zain manakala Ismi sebagai Vee merelakan setiap inci tubuh mereka berada dalam kesakitan demi filem berkenaan.
Kebetulan kedua-duanya masih hijau dalam dunia lakonan, justeru tidak menjadi alasan untuk mencabar kredibiliti dan kemampuan diri menjayakan mandat yang diberi.
Sepanjang dua bulan bersama menjalani latihan seni bela diri campuran atau lebih dikenali sebagai Mix Martial Art (MMA) sehingga terpaksa beraksi maskulin di hadapan kamera, Fify dan Ismi berkongsi perasaan yang sama iaitu mahu melakukan yang terbaik dalam penampilan sulung mereka.
Maskulin
Terlebih dahulu memulakan bicara, Fify menjelaskan, tiada penyesalan dalam hatinya menerima tawaran menjayakan watak sebagai Zain biarpun menyedari karakter berkenaan bakal menzahirkan sisi berbeza dirinya.
“Ini adalah diri saya yang baharu, saya membuang semua sifat feminin demi terus berada dalam karakter Zain untuk filem Wira.
“Pada awalnya, saya akui sukar untuk mengikis jiwa feminin dalam diri. Lama-kelamaan, selepas hampir dua bulan menjalani latihan intensif, saya akhirnya berjaya,” tuturnya ketika ditemui di set penggambaran Wira bertempat di Depot Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengakui adakalanya terbawa-bawa sikap ‘ganas’ Zain di luar set penggambaran, Fifi bagaimanapun selesa dengan keperibadian terbaharunya.
Bukan sahaja tutur bicaranya kedengaran agak kasar, peserta Dewi Remaja 2015/2016 itu bahkan sanggup mengorbankan rambutnya yang panjang mengurai sehingga ada yang beranggapan Fify tidak ubah seperti seorang jejaka tampan.
Tanggapan umum mengenai personalitinya yang dianggap sebagai maskulin umpama penanda aras keberkesanan menjayakan watak Zain.
“Zain dalam filem ini sememangnya seorang wanita yang kasar. Cara percakapan, berjalan dan lakonan perlu kasar. Biarpun terdapat babak drama, saya perlu kekal dengan penyampaian yang sama seperti ‘abang-abang’,” kongsinya yang julung-julung kali beraksi di layar perak.
Bukan sahaja mengorbankan sisi feminin, dia yang tidak mempunyai sebarang asas seni bela diri terpaksa menjalani rutin latihan berat untuk mendapatkan bentuk badan persis peninju dengan menyasarkan pembentukan bahagian otot tertentu.
Sering terbabit dengan babak perlawanan di gelanggang, Fify sempat menunjukkan beberapa kesan pada badannya yang mengalami lebam dek penggambaran dan latihan.
“Mesti ada lebam, itu normal. Saya sanggup melalui semua itu kerana peluang bekerja dengan nama hebat dan menganggap tawaran sebagai peluang sekali seumur hidup,” luahnya.
Filem Wira arahan Adrian Teh merupakan taruhan kedua pengarah itu dalam sinema filem tempatan selepas kejayaan Paskal: The Movie dengan kutipan sebanyak RM30 juta pada tahun lalu.
Menerusi Wira, Adrian mengekalkan penampilan pelakon Paskal seperti Hairul Azreen sebagai Hassan dan Henly Hii (Boon Hua).
Tenaga lakonan Wira turut diperkuatkan pelakon lain seperti Josiah Hogan (Rayyan) dan Datuk Hilal Azman (Munas).
Serasi
Peluang bertemu Ismi buat pertama kali pula sempat memperkenalkan aktres kelahiran Bandung, Indonesia itu mengenai portfolio seninya sehingga mengenepikan bakat tempatan untuk menjayakan watak antagonis bernama Vee.
Popular di Indonesia menerusi filem genre seram seperti Kuntilanak Beranak dan Pocong Jumat Kliwon, Ismi juga terbukti handal beraksi menerusi filem DPO (Detachement Police Operation).
Mempunyai asas dalam seni persilatan, Ismi menyifatkan kerjasama dengan Fify menzahirkan keserasian yang unik.
“Hubungan kimia antara saya dan Fify amat baik. Biarpun kami bertarung dalam filem, tetapi penampilan kami serasi,” jelasnya.
Menurut Ismi, walaupun wataknya adalah seteru kepada Fify, tuntutan tersebut tidak bermaksud mereka harus mengenepikan bibit keserasian.
“Keserasian perlu ada antara kami terutama ketika menjayakan babak berlawan. Kami perlu membaca gerakan masing-masing dengan teliti di samping saling mengingati setiap koreografi yang telah dipelajari,” ujarnya.
Mengulas mengenai kesudian bekerja bawah arahan Adrian, Ismi berkata, portfolio dan kejayaan filem aksi ketenteraan Paskal antara faktor penarik keterlibatannya dalam Wira.
Apatah lagi ujarnya, pelakon seni bela diri berkaliber Indonesia, Yayan Ruhian secara peribadi memujuknya agar menerima tawaran tersebut. Lalu, Ismi pantas memberikan jawapan untuk bersetuju.
“Yayan telah memujuk saya melalui panggilan telefon. Dia mengajak saya untuk terbabit sama dalam filem ini kerana dia juga merupakan koreografer filem Wira.
“Sukar untuk saya menolak naskhah ini. Tambahan pula, seseorang seperti Yayan menawarkan peluang itu,” getusnya penuh semangat.
Berkongsi pengalamannya yang kali kedua bekerjasama dengan produksi tempatan selepas filem KL Vampire, Ismi gembira kerana diterima baik dalam kalangan pengkarya Malaysia.
“Saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan pengkarya di sini. Profesionalisme adalah sama, kemesraannya juga sama,” katanya mengakhiri bicara.
Dua heroin Nusantara yang bergandingan buat julung-julung kalinya sebagai seteru dalam filem Wira mencari titik keserasian demi menjayakan penampilan sulung di layar perak tempatan.











