KUALA LUMPUR 13 Mei – Peratusan pemulihan bekalan air di Wilayah Klang masih berada di tahap 99 peratus berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, beberapa lokasi dan premis di Bandar Putera 2 dan Taman Sentosa yang menerima bekalan melalui Kolam Lipat Kajang masih belum pulih sepenuhnya.
“Kelewatan pemulihan sepenuhnya di dua kawasan ini adalah disebabkan paras Kolam Lipat Kajang masih belum dapat mencapai paras optimum dan menyebabkan tekanan aliran di sistem agihan tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Raof, bagi mengurangkan impak gangguan, pihaknya melaksanakan tindakan pemulihan bekalan melalui kaedah alternatif sementara melaksana kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip baru 1400 milimeter bagi penyelesaian kekal saluran bekalan air.
“Kami menyasarkan kerja-kerja pemasangan jajaran paip utama 1400mm ini akan dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini. Sejurus sistem paip utama baharu ini diaktifkan, ia akan dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kolam dan pemulihan sepenuhnya kesemua kawasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











