KUALA LUMPUR 5 Mei – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd. (Air Selangor) menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan terjejas ekoran gangguan air di beberapa kawasan di Wilayah Klang hari ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, dua Pusat Khidmat Setempat (PKS) juga akan diaktifkan bermula pada pukul 8 malam ini sehingga bekalan pulih sepenuhnya.
Katanya, lokasi PKS itu ialah Masjid As-Saadah, Lingkaran Sultan Abdul Samad 2, Bandar Sultan Suleiman dan Taman Rekreasi, Jalan Delima 8, Bandar Parkland.
“Bagi memberikan bantuan kepada pelanggan yang terjejas, tiga lokasi pili awam juga telah disediakan iaitu di Masjid Ar Rahimah Sri Andalas (Berhadapan Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang), Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 16 (Bawah Kolam Seksyen 16) dan Persiaran Astana, Bandar Bukit Raja (Berhampiran Kolam Bandar Bukit Raja).
“Air Selangor mengambil segala langkah dan tindakan perlu bagi mempercepatkan proses kerja-kerja pembaikan serta berusaha mengurangkan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas.,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











