KUALA LUMPUR 21 Mei – Penyedia teknologi data, Fusionex menyasarkan untuk meningkatkan produktiviti dan pulangan hasil pengilangan besar menggunakan teknologi IR 4.0.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh berkata, penggunaan teknologi itu seterusnya dijangka meningkatkan hasil pelanggan kepada berjuta-juta dolar sebulan.
“Teknologi IR 4.0 berkuasa AI kami bersedia untuk membantu pelanggan menjadikan sistem lebih pintar, selain meningkatkan hasil pengeluaran,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menerusi kontrak berjuta-juta dolar, Fusionex akan menyediakan platform analitis data raya, kepintaran buatan (AI) dan platform kecergasan berterusan bagi mengumpul, menyimpan, memantau dan mengambil tindakan berdasarkan data pengeluaran yang diperoleh dari kilang dan loji pelanggan sepenuh masa.
Penyelesaian canggih Fusionex membolehkan pelanggan mengesan dan menganalisis tahap seperti suhu, kelembapan, ketidakstabilan tekanan serta input dan output untuk mendapat maklumat penting yang tertanam dalam proses pintarnya.
Ia juga akan memperkenal platform digital berkuasa AI untuk membantu pelanggan mengautomasikan proses pengeluaran, aktiviti penyelenggaraan dan pencegahan kerosakan. – BERNAMA











