KUALA LUMPUR – Dua sindiket pengedaran dadah yang aktif beroperasi di sekitar Lembah Klang lumpuh selepas pihak polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan kegiatan terlarang itu dan menyita dadah pelbagai jenis bernilai RM609,515 Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, kedua-dua tangkapan telah dibuat oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul berdasarkan maklumat risikan yang diterima.
“Suspek pertama melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Metro Prima, Taman Kepong, di sini pada pukul 6 petang.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta Proton Saga milik suspek telah menemui sebungkus beg plastik yang mengandungi sebanyak 5,000 biji pil Erimin 5 seberat 1,440 gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Adnan, polis kemudiannya telah dibawa oleh suspek ke sebuah rumah di Jalan Robertson, Bukit Bintang di sini dan menemui dadah jenis ketamin seberat 64.80 gram.
“Kesemua dadah yang dirampas daripada suspek pertama dianggarkan bernilai RM84,720 dan dipercayai boleh dibekalkan kepada kira-kira 5,500 pengguna.
“Turut disita adalah wang tunai berjumlah RM3,150, dolar Singapura SG$2,300 (RM7, 000), seutas jam tangan, gelang serta cincin dan kereta Proton Saga yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM32,350,” jelas beliau.
Adnan berkata, suspek kedua pula berusia 37 tahun dan ditahan pada hari sama di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Damansara Jaya, Petaling Jaya kira-kira pukul 8.20 malam susulan maklumat risikan yang diterima.
“Suspek kemudiannya telah membawa polis ke sebuah kereta jenis Mercedes Benz CLK200 yang diletakkan di tingkat tiga kawasan meletak kenderaan itu dan pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 34,750 biji pil Erimin 5 seberat 10,090 gram.
“Pada keesokan harinya, polis telah dibawa oleh suspek ke sebuah kondominium di Jalan SS 20/27 Petaling Jaya dan menemui sebanyak 100 biji pil ekstasi seberat 43.38 gram, 50 biji pil yaba seberat 4.94 gram dan serbuk ekstasi seberat 1.36 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM524, 795 dan dipercayai boleh digunakan oleh 35,250 orang penagih,” katanya.
Tambah beliau, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2, 200, sebuah kereta Mercedes Benz CLK200 dan sebuah kereta jenis Hyundai Sonata daripada suspek yang kesemuanya bernilai RM92,200.
“Pemeriksaan air kencing yang dilakukan mendapati suspek pertama positif dadah jenis amphetamine manakala suspek kedua pula didapati negatif.
“Suspek pertama kini direman enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sehingga 19 Mei ini manakala supek kedua direman tujuh hari di bawah kanun sama sehingga 20 Mei ini,” jelasnya.
Adnan berkata, kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE











