SELAYANG – Dua pekerja pencuci tayar lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan melakukan khianat dengan api terhadap dua buah kereta milik Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh iaitu Muhammad Yasifullah Abdul Gani, 30, dan Muhamad Asyraf Che Khalid, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa telah melakukan khianat dengan api dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan kepada harta milik Norhayati Ahmad, 40, iaitu dua buah kereta masing-masing jenis Honda HRV dan Honda Odyssey anggaran kerugian RM500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Rawang di sini pukul 12.44 pagi pada 13 Mei lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan ikat jamin RM10,000 masing-masing terhadap kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Yasifullah yang diwakili peguam Samreet Singh dan Muhamad Asyraf diwakili peguam Azman Abdullah memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana masing-masing hanya bekerja sebagai pencuci tayar lori dan turut menanggung keluarga.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Rasyihah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.
“Kedua-dua tertuduh juga dilarang menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” kata Rasyihah.
Ahad lalu, akhbar melaporkan Pegawai kanan MPS menerima ancaman daripada individu tidak dikenali apabila kediamannya di Taman Muhibbah, dekat sini, dibaling cat dan molotov cocktail. – K! ONLINE











