IPOH 11 Mei – Dua gol daripada pemain import baharu, Ronaldo Henrique Silva membawa Perak ke separuh akhir Piala FA setelah mengalahkan PKNP 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak hari ini.
Ronaldo Henrique Silva dari Brazil baru sahaja menyerai Perak, menjaringkan gol pada minit ke-23 dan ke-88.
Jaringan kedua Ronaldo Henrique Silva memadamkan kelebihan PKNP yang berjaya bangkit mengikat kedudukan1-1 pada minit ke-71 hasil sepakan bebas Giancarlo Lopes.
Dalam pertembungan dua pasukan senegeri, aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan.
Perak mendahului pada minit ke-23 apabila Ronaldo Henrique Silva menewaskan penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraaf Omar selepas mendapat hantaran cantik daripada Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi.
PKNP mempamer permainan lebih bertenaga pada babak kedua dengan meningkatkan asakan.
Pasukan pelawat hampir berjaya mencipta jaringan pada awal babak kedua menerusi tandukan Ahmad Shukri Hamid namun berjaya ditepis Muhammad Hafizul Hakim.
Perak juga mempunyai peluang untuk menambah gol pada minit ke-59 namun rembatan kaki kiri Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi hanya tersasar dari gawang PKNP.
Minit ke-71, sepakan bebas Giancarlo Lopes menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk PKNP mengikat kedudukan 1-1.
Ketika kelebihan dilihat memihak kepada PKNP, Ronaldo Henrique Silva muncul wira pasukannya apabila menanduk bola sepakan sudut Muhammad Firdaus Saiyadi yang menewaskan penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-88 untuk kedudukan 2-1. – UTUSAN ONLINE











