JOHOR BAHRU 26 Mei – Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal percaya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baharu, Mazlan Bujang memilih barisan kepimpinan parti di negeri ini yang selesa bekerja dengan beliau.
Dr. Sahruddin yang juga bekas Setiausaha Bersatu negeri berkata, dengan amanah yang sudah diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, maka, beliau berharap semua pihak dapat bersama-sama bekerja demi rakyat dan memperkukuhkan parti.
“Alhamdulillah saya mengucapkan tahniah kepada YB Mazlan di atas pelantikan beliau, amanah telah diberi, jadi, marilah kita bersama-sama bekerja dan yang paling penting kita bekerja untuk rakyat dan berusaha menguatkan parti,” katanya ketika mengulas berhubung barisan kepimpinan Bersatu Johor yang baharu.
Dr. Sahruddin ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Hari Raya 2019 oleh Yayasan Penyayang Iskandar Puteri kepada 650 orang penerima golongan kurang berkemampuan, di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Skudai di sini hari ini.
Semalam, Mazlan yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baharu mengumumkan pelantikan Ketua Bersatu Bahagian Ledang, Mohd. Solihan Badri sebagai Setiausaha Bersatu Johor menggantikan Dr Sahruddin.
Mazlan turut memaklumkan ada menawarkan kepada Dr. Sahruddin supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha, namun, beliau dimaklumkan Menteri Besar sendiri menolak memegang jawatan tersebut kerana mahu memberi tumpuan kepada kerja pentadbiran kerajaan negeri.
Berhubung sama ada beliau ada menerima tawaran untuk memegang jawatan tersebut semula seperti dimaklumkan Mazlan semalam, Dr. Sahruddin menjawab:”Itu saya tak payah komen lah,”. – UTUSAN ONLINE











