PUTRAJAYA 14 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan panduan kerja sektor awam, myPortfolio di bangunan Perdana Putra di sini hari ini sebagai usaha mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Panduan itu merupakan rujukan kepada agensi kerajaan dalam menyediakan dokumen berkaitan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab yang teratur di peringkat jabatan dan individu.
Perdana Menteri berkata, myPortfolio diperkenal untuk membolehkan tiap seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat di dalam melaksanakan tugasnya.
“Malah, mereka juga akan tahu parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawai yang lain.
“Ini akan memudahkan penyelia memantau status pelaksanaan tugas dan mengambil tindakan pembetulan jika berlaku kelewatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan.
Inisiatif myPortfolio membolehkan seseorang penjawat awam mengetahui apa yang perlu dilakukan dalam melaksanakan tugas mereka serta parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawal yang lain.
Proses itu juga memudahkan penyelia memantau status pelaksanaan tugas dan mengambil tindakan pembetulan jika berlaku kelewatan.
Dengan adanya myPortfolio juga dapat memastikan supaya tidak berlaku kalewatan dan kesilapan dalam pelaksanaan tugas di jabatan kerajaan dan sekali gus dapat meningkatkan produktiviti yang membawa kebaikan kepada rakyat.
Selain myPortfolio, jelas Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) turut mengeluarkan Panduan Penetapan Tempoh Masa dalam Carta Alir yang memperincikan lagi pelaksanaan penyediaan carta alir aktiviti utama di jabatan kerajaan.
Menurut beliau, setiap langkah dalam proses kerja dinyatakan dengan jelas tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikannya dan carta alir tersebut juga perlu dipaparkan di tempat-tempat strategik agensi-agensi kerajaan agar mudah dilihat oleh orang awam bagi tujuan panduan dan tindakan mereka.
Bagi merealisasikan inisiatif berkenaan, katanya, myPortfolio hendaklah difahami oleh semua penjawat awam.
“Komunikasi yang efektif melalui perbincangan, penerangan, dan latihan berterusan akan mewujudkan penerimaan dan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan.
“Kesemua usaha yang dinyatakan tadi tidak lain dari langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan keberkesanan sistem penyampaian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











