PARIS 16 Mei – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso berkeyakinan tinggi mampu meraih keputusan positif dalam aksi Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans hujung minggu ini biarpun dia belum pernah memenangi saingan di litar berkenaan.
Kata Dovizioso, sasaran utamanya kini adalah untuk memastikan Ducati berada di landasan terbaik dalam kempen musim ini selain mahu memperbaiki pencapaian tempat keempat yang diraihnya di Jerez, awal bulan ini.
“Litar Le Mans lebih berdaya saing berbanding aksi di Jerez.
“Saya juga menjangkakan saingan lebih sukar dalam masa sama enggan terlalu memikirkan tentang pencapaian dalam aksi GP Perancis sebelum ini kerana tahun lalu, ia tidak berjalan seperti yang dirancangkan dan ia bukan satu kenangan yang terbaik.
“Saya percaya Ducati mempunyai ciri-ciri yang boleh menguntungkan kami di Perancis, namun kami perlu menyusun beberapa butiran untuk memaksimumkan potensi dan memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar,” katanya.
Ketika ini Dovizioso telah mengumpul 67 mata untuk berada di kedudukan ketiga selepas empat perlumbaan berlangsung dan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Marc Marquez. – AGENSI











