LONDON – Seorang pakar perubatan berjaya melakukan pembedahan ke atas janin dalam kandungan yang menghidap penyakit spina bifida di sini baru-baru ini, 30 tahun selepas doktor itu menyelamatkan ibu bayi tersebut.
Profesor Kypros Nicolaides menawarkan kaedah perubatan terkini kepada Sherrie Sharp, 29, apabila kandungannya mencecah enam bulan selepas imbasan awal mendapati janinnya menghidap penyakit tersebut.
Spina bifida terjadi kerana kegagalan pembentukan tulang belakang dan saraf tunjang sehingga meninggalkan satu ruang atau ‘pundi saraf’ di antara sambungan tulang belakang.
Nicolaides mengetuai sepasukan pakar bedah di Hospital King’s Collage di sini melakukan pembedahan kecil selama 3 jam dengan memasukkan kamera halus dan peralatan pembedahan menerusi abdomen serta rahim Sharp untuk memperbaiki kecacatan pada saraf tunjang janin yang dikandungnya.
Enam minggu kemudian, bayi yang diberi nama Jaxson dilahirkan dan kini mampu menendang kaki selepas mencapai usia empat minggu, satu pergerakan yang mustahil tanpa pembedahan tersebut.
Kira-kira tiga dekad lalu, Nicolaides yang baru menjadi pakar bedah muda menyelamatkan nyawa Sharp yang menghidap anemia ketika masih dalam kandungan menerusi prosedur pemindahan darah melalui tali pusat. – Agensi











