PENERJUN wanita negara, Nur Dhabitah Mohd. Sabri menamatkan kemarau pingat buat Malaysia pada Siri Terjun Dunia 2019 selepas merangkul pingat gangsa pada pusingan akhir kejohanan itu di London, England awal pagi tadi.
Atlet berusia 19 tahun itu mengumpul 344.40 mata dalam lima terjunan bagi acara 3 meter (m) papan anjal di Pusat Akuatik London, Queen Elizabeth Olympic Park.
Ini merupakan pingat kedua Dhabitah pada Siri Terjun Dunia selepas meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong bagi acara 10m platform seirama wanita di Windsor, Kanada pada tahun 2017.
Penerjun Australia, Maddison Keeney mendapat pingat emas dalam acara tersebut apabila mencatatkan 368.30 mata manakala Jennifer Abel dari Kanada membawa pulang pingat perak dengan 353.05 mata.
Menurut Dhabitah, dia sendiri secara peribadi tidak menjangkakan mampu memperoleh pingat bagi acara individu memandangkan kejohanan itu disertai bintang-bintang terjun serata dunia.
“Saya tidak pernah terfikir untuk mendapatkan pingat dalam acara individu. Saya tidak mungkin dapat melakukan kecemerlangan ini tanpa sokongan pelbagai pihak,” katanya.
Terdahulu, Dhabitah yang bergandingan dengan Muhammad Syafiq Puteh bagi acara 3m terjun seirama campuran menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada lapan pasangan dengan catatan 302.43 mata.
Pasangan tuan rumah, Thomas Daley-Grace Reid merangkul pingat emas dengan 322.89 mata, Domonic Bedggood-Madison Keeney dari Australia meraih pingat perak (322.14 mata) diikuti pingat gangsa menjadi milik pasangan Kanada, Francois Imbeau Dulac-Jennifer Abel (319.02 mata).











