Derita Idlib bakal berpanjangan? - Utusan Malaysia

Derita Idlib bakal berpanjangan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT 12 Mei – Selepas lapan bulan keadaan menjadi tenang, wilayah Idlib di barat laut Syria sekali lagi menjadi medan operasi tentera yang berdarah, pengeboman bertubi-tubi, serangan udara dan gelombang penduduk tempatan melarikan diri.

Semuanya berlaku ketika tentera Syria, disokong oleh Rusia, melancarkan serangan ke atas kubu pemberontak.

Lapor AP, pertempuran yang berlaku sejak minggu lalu mengancam sepenuhnya persetujuan gencatan senjata pada September tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiada pilihan yang baik apabila melibatkan Idlib,” jelas analisis dikeluarkan oleh Kumpulan Krisis Antarabangsa baru-baru ini.

Idlib merupakan kawasan terakhir yang tidak berada dalam penguasaan Presiden Syria, Bashar al-Assad dan masih ditakluk pemberontak. Bashar berikrar untuk menakluk semula wilayah itu dan setiap inci kawasan Syria yang ‘hilang’ ketika perang.

MENGAPA IDLIB PENTING?

Bagi Bashar, Idlib menghalang usahanya untuk menang menentang pembe­rontak. Selepas lapan tahun berperang, beliau memerangi habis-habisan pemberontakan yang tercetus daripada Arab Spring pada 2011.

Dalam peta konflik Syria, Idlib yang bersempadan de­ngan Turki, mempunyai kawasan bertanda hijau (dikuasai pemberontak) namun dikeli­lingi kod merah (dikuasai tentera Syria).

Jika wilayah itu berjaya ditakluk, ini menandakan kekalahan mutlak rejim pemberontak yang suatu ketika menguasai separuh negara itu dan mengancam kedudukan Bashar di Damsyik.

Kawasan itu bukan sahaja penting untuk Bashar. Turki dikatakan memberi sokongan politik serta logistik kepada pemberontak untuk menentang beliau. Turki yang me­nempatkan tiga juta pela­rian Syria, turut mengekalkan berpuluh pos tentera di sekitar Idlib, serta bakal berdepan kebanjiran pelarian jika Bashar me­lancarkan serangan besar-besaran.

MENGAPA PERTEMPURAN TERJADI KEMBALI?

Gencatan senjata antara Turki dan Rusia pada September tahun lalu telah ‘gagal’, ditambah dengan pelanggaran yang berlaku setiap hari sejak kebelakangan ini. Sebahagian daripada perjanjian itu belum dapat dilaksanakan, termasuk pengunduran militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Selain itu, dua lebuh raya utama yang melintasi kawasan dikuasai pemberontak sepatutnya dibuka sebelum penghujung tahun lalu tetapi masih ditutup sehingga kini.

Jumlah tentera yang besar dan kemaraan ke kampung-kampung utama di kawasan berdekatan menunjukkan serangan sudah dijalankan.

Namun, serangan tentera Syria mungkin dilaksanakan pada skop terhad, menyasarkan penguasaan semula lebuh raya M4 dan M5 untuk membuka laluan antara bandar Latakia, kubu kuat kerajaan yang menempatkan pangkalan udara Rusia.

Pertempuran kini tertumpu di pekan dan kampung di utara Hama dan selatan Idlib.

Rusia dan tentera Syria berkata, mereka bertindak balas terhadap peningkatan serangan dilancarkan oleh kumpulan militan di kawasan dikuasai kerajaan.

SIAPA DI IDLIB?

Idlib adalah kawasan perlindungan pemberontak.

Populasi penduduknya yang berjumlah 1.5 juta orang telah meningkat sekitar tiga juta setelah dijadikan zon bebas konflik pada Mei 2017.

Puluhan ribu penduduk Syria yang terperangkap di bahagian lain di negara itu telah dipindahkan ke wilayah terbabit di bawah pelbagai perjanjian gencatan senjata.

Kini mereka tidak mempunyai tempat lain untuk dituju, selepas kubu pemberontak yang lain diserang dan Turki membina tembok di sepanjang sempadan bagi menyekat kehadiran pelarian.

BABAK PERTEMPURAN PALING BERDARAH?

Serangan tentera untuk menawan semula Idlib dijangka mencetuskan pertempuran paling kejam dalam sejarah konflik Syria sejak 2011, yang sebelum ini mengorbankan setengah juta orang serta berjuta-juta yang lain merempat.

Ketua Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sy­ria, Paulo Pinheiro memberi amaran konflik itu akan ‘mencetuskan bencana kemanusiaan yang sukar untuk digambarkan’.

Serangan­ udara dan bom menyebabkan 80 penduduk maut manakala 300 lagi cedera dalam tempoh 10 hari sejak 28 April lalu, selain 150,000 orang hilang tempat tinggal.

Pertempuran yang tercetus di 50 kampung mengakibatkan sekolah musnah, manakala Program Makanan Sedunia (WFP) menangguhkan penghantaran makanan kepada 47,500 orang di Idlib berikutan isu keselamatan.

PBB turut memberi amaran lebih 800,000 orang berdepan risiko kehilangan tempat tinggal. Dengan Turki menutup pintu sempadan, belum diketahui ke manakah arah tuju penduduk Syria selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini