LONDON 9 Mei – Pemain tengah Ajax, Frenkie de Jong sukar untuk menerima hakikat bahawa pasukannya tewas ketika selangkah ke saingan akhir Liga Juara-Juara.
Ajax gagal melangkah ke saingan akhir kejohanan tersebut selepas tewas kepada Tottenham dengan kelebihan jaringan memihak kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas masing-masing terikat dengan agregat 3-3.
“Saya berpendapat kami berhak ke saingan akhir berdasarkan persembahan kami sepanjang kejohanan ini.
“Bagi saya semua ini umpama kisah dongeng tetapi ia diakhiri dengan kekecewaan.
“Kami telah membuktikan kebolehan kami namun pada hari ini tidak berupaya mempamerkan aksi lebih baik,” kata De Jong.
Sebelum ini Ajax menjadi tumpuan dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini terutama selepas menyingkirkan Real Madrid dan Juventus untuk ke separuh akhir. – AGENSI











