LONDON 18 Mei – Kevin De Bruyne menegaskan dia tidak bersimpati dengan kemarau 29 tahun Liverpool untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terus berpanjang selepas trofi itu menjadi milik Manchester City .
City menamatkan saingan dengan kelebihan satu mata ke atas Liverpool sekali gus berjaya memenangi kejuaraan tersebut buat kali kedua berturut-turut.
“Tidak,” kata De Bruyne kepada The Guardian apabila ditanya jika dia bersimpati buat Liverpool.
Tambah bintang Belgium itu, kemenangan mempertahankan kejuaraan ini hasil usaha keras berpasukan dan membuktikan City pasukan terbaik di EPL.
“Ia merupakan usaha yang cemerlang tetapi ia membuktikan kami adalah pasukan yang lebih baik. Saya tidak bersimpati kepada mereka kerana saya tidak berasakan mereka memikirkan tentang kami.
“Saya tidak berasakan tiada sesiapa yang bersedih apabila kami tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL).
City yang memenangi Piala EFL musim ini berpeluang untuk menyempurnakan kejuaraan trebel domestik apabila bertemu Watford dalam final Piala FA di Wembley, awal pagi ini.
De Bruyne yang mengharungi musim ini dengan dibelenggui kecederaan belum pernah memenangi Piala FA.
“Kemenangan ini akan mengubat kekecewaan kami tersingkir daripada UCL. Ia bukan musim yang seronok buat saya kerana dihimpit dengan kecederaan.
“Tetapi ini merupakan kecederaan yang paling serius selepas beraksi hampir 10 hingga 11 tahun,” jelasnya. -AGENSI











