SHAH ALAM 20 Mei – Seramai 18 individu termasuk enam warga tempatan ditahan dalam beberapa serbuan berasingan yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semalam.
Dalam serbuan Ops Dadu dan Ops Noda itu, enam warga tempatan tersebut merupakan penjaga premis, manakala selebihnya yang ditahan adalah warga Vietnam, Thailand dan China.
Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor berkata, empat serbuan melibatkan Ops Dadu dilakukan di sekitar Banting dan pihaknya menahan empat individu yang merupakan penjaga premis.
“Serbuan dilakukan bermula pukul 1.30 petang dan berjaya menahan empat individu warga tempatan. Hasil serbuan, kita turut merampas wang tunai RM984 dan beberapa barangan lain.
“Kesemua tangkapan ini disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.
Sementara itu, Azmi berkata, dalam dua lagi serbuan Ops Noda ke atas dua premis termasuk pusat refleksologi, 11 wanita dan seorang pondan ditahan.
“Dalam serbuan ini, kita juga turut menahan dua warga tempatan manakala hasil siasatan ke atas sembilan warga asing yang lain mendapati mereka tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











