Cukai pelancongan pemberian baharu kepada Kerajaan Negeri - Utusan Malaysia

Cukai pelancongan pemberian baharu kepada Kerajaan Negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Mei – Majlis Kewangan Negara bersetuju Pemberian Cukai Pelancongan menjadi satu pemberian baharu kepada Kerajaan Negeri mulai tahun ini berdasarkan agihan 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan di negeri-negeri.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemberian itu bagi membantu Kerajaan Negeri menyenggara dan menyediakan kemudahan pelancongan, mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan dan menambah baik pelaporan statistik pelancongan.

“Kita telah kenakan bayaran RM10 satu bilik dan sebagainya, kutipan ini sebenarnya untuk Kerajaan Pusat tetapi kita setuju supaya memberi 50 peratus kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 di bangunan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) mulai tahun ini.

Beliau berkata, ia bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta bagi membantu negeri-negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program/projek bagi meningkatkan hasil negeri.

Selain itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan amat prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian MARRIS ditambah baik antaranya termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan untuk membiayai penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum JKR dan tidak didaftarkan di dalam Sistem MARRIS online serta perbelanjaan menaik taraf jalan/jambatan/parit/longkang dengan had tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan tahun sebelumnya atau RM15 juta, yang mana terendah,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat Majlis Kewangan Negara diadakan selaras dengan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat itu katanya, bertujuan membincangkan perkara yang melibatkan pengurusan kewangan kerajaan negeri dan isu-isu yang berkaitan dengannya di mana tiga kertas telah dibincangkan dan dua lagi untuk maklumat.

“Kewangan adalah satu perkara yang amat penting dalam pengurusan sesuatu badan. Sudah tentu dalam menguruskan sesebuah negara, bagaimana kita menguruskan kewangan adalah penting untuk keswlamatan dan kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini