BRIGHTON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya skuadnya akan berdepan kehancuran sekiranya gagal menjulang trofi Liga Perdana England (EPL) pada aksi terakhir menentang Brighton malam ini.
Justeru, pengendali dari Sepanyol itu mengakui mereka wajib meraih tiga mata penuh ke atas Brighton dan sekiranya misi tersebut gagal, skuadnya perlu berdoa supaya pencabar terdekat, Liverpool tewas kepada Wolverhampton.
Guardiola mengakui City masih gagal menyerlah dalam kempen Eropah apabila tersingkir pada pusingan suku akhir Liga Juara-Juara sedangkan dua musuhnya di EPL, Liverpool dan Tottenham Hotspur berjaya mara ke pusingan akhir.
“Untuk mendapatkan pujian, kamu perlu meraih kemenangan. Pada aksi Liga Juara-Juara, mana-mana pasukan yang tersingkir akan dikritik hebat oleh semua orang termasuk pasukan kami.
“Sebab itu kami tidak mempunyai cara lain untuk menebusnya selain menjulang trofi liga pada malam esok (hari ini). Sebenarnya, saya tidak jangka boleh berada pada kedudukan pertama liga kerana Liverpool ialah pasukan yang paling banyak mengumpul mata sebelum ini.
“Namun, kami juga beraksi agak baik pada musim ini kerana telah menjulang gelaran Piala Liga England dan berpotensi untuk menang pada aksi final Piala FA menentang Watford. Jika segalanya berjalan dengan sempurna, kami akan menutup tirai kempen liga dengan gelaran trebel,” kata Guardiola.
Ketika ini City berada pada kedudukan pertama EPL dengan 95 mata manakala Liverpool menduduki tangga kedua dengan perbezaan satu mata.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Brighton malam ini, Guardiola menggesa jentera serangannya memburu gol awal bagi memastikan mereka tidak berada dalam situasi tertekan. – Agensi.











