MANCHESTER 17 Mei – Masih segar dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Manchester City bagaimanapun belum berpuas hati dengan pencapaian itu dan mahu melengkapkan musim dengan merangkul trofi ketiga esok.
Skuad bimbingan Pep Guardiola akan turun dalam final Piala FA menentang Watford di Wembley, dan ketua pasukan, Vincent Kompany menegaskan, mereka amat bersemangat memburu gelaran treble selepas turut menjuarai Piala Liga pada awal musim.
“Semua orang tahu, apabila pasukan mula merasa terlalu selesa, saya boleh bertukar menjadi seorang yang amat agresif dalam latihan dengan mengingatkan pemain tanggungjawab mereka.
“Sejak awal lagi, pasukan ini tahu apa keutamaan mereka. Ya, kami sudah menjulang trofi paling penting iaitu Liga Perdana, ia sangat istimewa…apatah lagi kami memenanginya dua musim berturut-turut.
“Tapi satu trofi tidak cukup…dua trofi juga tidak lengkap. Kami perlu menamatkan musim dengan pencapaian terbaik dan cuba memenangi Piala FA,” kata Kompany.
Biarpun masa depan Kompany, 33, masih tidak menentu kerana belum menandatangani sebarang penyambungan kontrak bersama The Citizens, namun bek tengah Belgium itu tetap bersemangat untuk menambah koleksi kejuaraan.
“Pasukan ini mampu bertukar menjadi singa.
“Mereka pasukan yang dahagakan kejayaan, mahu memburu lebih banyak kemenangan,” ujarnya lagi. – AGENSI











