MANCHESTER – Juara Liga Perdana England (EPL), Manchester City perlu memecah rekod yuran perpindahan pemain pertahanan termahal dunia mencecah £90 juta (RM477.64 juta) untuk menandatangani bintang Leicester City, Harry Maguire pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Pengurus City, Pep Guardiola sememangnya berminat untuk mendapatkan pemain pertahanan antarabangsa England berusia 26 tahun itu bagi menggantikan tempat kapten The Citizens, Vincent Kompany yang menyertai Anderlecht pada musim depan.
Bagaimanapun, City perlu memecahkan rekod £75 juta (RM398.04 juta) yang dibayar oleh Liverpool untuk mendapatkan pemain pertahanan Virgil van Dijk, iaitu rekod yuran perpindahan termahal dunia bagi seorang pemain pertahanan.
Pemain pertahanan tengah itu memiliki baki kontrak selama empat tahun bersama Leicester dan sudah pastinya The Foxes hanya akan bersetuju melepaskan Maguire jika menerima tawaran setinggi £90 juta.
City perlu mencari pengganti Kompany untuk memperkuatkan benteng pertahanan selepas mereka turut dijangka kehilangan Nicolas Otamendi yang hangat diintai Atletico Madrid. Sementara itu, Guardiola dikatakan tertarik dengan kemampuan serta kualiti dimiliki Maguire yang mampu mengawal benteng pertahanan ketika aksi City menewaskan Leicester di Stadium Etihad musim ini.
Pada masa sama, The Citizens juga giat meninjau pasaran bagi mendapatkan pemain tengah dengan bintang Atletico Madrid yang juga pemain antarabangsa Sepanyol, Rodri menjadi sasaran.
Bagaimanapun, pemain utama Atletico berusia 22 tahun itu mempunyai klausa pelepasan bernilai £65 juta (RM344.96 juta) dan Bayern Munich turut dikaitkan berminat memburu bintang dalam pembikinan itu. – Agensi











