LONDON 5 Mei – Chelsea melonjak ke kedudukan ketiga dalam carta Liga Perdana Inggeris, selepas jaringan Ruben Loftus-Cheek dan David Luiz menjadi inspirasi kepada kemenangan 3-0 Blues ke atas Watford, hari ini.
Skuad bimbingan Maurizio Sarri diejek penyokong selepas mempamerkan aksi kurang kemas pada babak pertama permainan, tetapi dua gol dalam tempoh tiga minit yang disempurnakan oleh Loftus-Cheek dan Luiz telah mengubah suasana di Stamford Bridge.
Gonzalo Higuain kemudian menyumbat gol ketiga dan Chelsea kini berkelebihan satu mata berbanding Tottenham yang menghuni tangga keempat selepas anak-anak Sarri melakar kemenangan pertama dalam empat perlawanan pada semua pertandingan.
Jika Blues meraih kemenangan dalam perlawanan terakhir Liga Perdana, musim ini, di Leicester, Ahad minggu depan, mereka akan mengesahkan slot ke kelayakan Liga Juara-Juara, musim depan. – AFP











