Cerita di sebalik ‘Falling Man’ - Utusan Malaysia

Cerita di sebalik ‘Falling Man’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika tragedi serangan menara berkembar World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, beribu-ribu gambar dirakam di tempat kejadian yang memaparkan ketakutan, trauma dan kesedihan yang dialami oleh penduduk New York.

Namun terdapat sekeping gambar yang bukan sahaja mencetuskan rasa tidak selesa malah dianggap `mengganggu’ berjaya dirakam oleh jurugambar Associated Press (AP), Richard Drew, 73, sebaik sahaja menara kedua WTC diserang.

Gambar yang dikenali sebagai Falling Man itu hanya disiarkan sekali sahaja oleh semua akhbar di seluruh dunia tetapi meninggalkan kesan mendalam dan berpanjangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini sekeping gambar senyap. Tidak seperti gambar-gambar ganas, ngeri yang diambil daripada suatu tragedi atau bencana lain,’’ kata Drew mengenai Falling Man.

Memang benar kerana kesemua gambar tragedi tersebut memaparkan kebakaran, sisa runtuhan dan bangunan yang tumbang tetapi Falling Man memaparkan desakan dan tekanan yang dialami seorang lelaki yang tiada pilihan dan terpaksa terjun dari tingkap bangunan pencakar langit itu.

Gambar berkenaan juga mewakili lebih 200 mangsa yang memilih untuk terjun daripada terperangkap dalam bangunan itu pada hari kejadian.

Kata Drew dia melihat banyak kematian cara yang sama pada hari kejadian kerana ketika dia tiba di tempat tersebut, berpuluh-puluh mangsa mula jatuh seorang demi seorang daripada tingkat atas bangunan.

Namun naluri seorang wartawan segera mengetuknya lantas dia pantas merakamkan suasana kelam kabut, mangsa yang berada di bawah dan di atas.

“Saya tidak tahu yang saya mempunyai gambar lelaki ini dalam kedudukan sedemikian sehinggalah saya sendiri melihatnya dalam komputer. Saya menunjukkan gambar tersebut kepada seorang penyunting gambar dan saya kata, inilah dia gambar sebenar,’’ katanya yang dipetik daripada portal ati.

Penyunting tersebut bersetuju dan keesokan harinya gambar itu disiarkan dalam berpuluh-puluh penerbitan di seluruh negara termasuk New York Times.

Namun kecaman terhadap keadaan gambar itu amat hebat menyebabkan ia tidak lagi disiarkan.

“Bagi saya mereka (penerbit New York Times) sangat berani kerana menggunakan gambar itu kerana hanya gambar itu sahaja memaparkan keadaan tersebut, satu-satunya gambar yang menunjukkan interaksi manusia (dengan bangunan) sedemikian,’’ katanya.

Meskipun gambar ngeri berkenaan terkenal dan disifatkan gambar ikonik, namun sehingga kini identiti Falling Man itu masih belum dapat dikenalpasti.

“Kami masih tidak tahu sama ada mangsa mati selepas jatuh tetapi ada orang yang mengatakan bahawa seseorang itu akan mati sebelum dia jatuh. Kami tidak tahu sama ada dia terpaksa melakukannya kerana kebakaran itu atau dia memilih takdirnya dengan cara sedemikian,’’ ujar Drew lagi.

Oleh kerana mayat Falling Man tidak ditemukan maka tiada sebarang pengecaman rasmi dilakukan namun sejak itu pelbagai teori tersebar tentang identiti lelaki berkenaan tanpa sebarang bukti kukuh.

Seorang wartawan dari The Globe and Mail, Kanada pernah mendakwa mangsa dikenali sebagai Norberto Hernandez, seorang cef pastri di Windows on the World, sebuah kafe di tingkat 106 Menara Utara.

Walaubagaimanapun, keluarga Hernandez menafikannya kerana tidak yakin selepas meneliti baju yang dipakai mangsa dalam gambar berkenaan.

Seorang lagi wartawan dari Esquire mendakwa mangsa memang kakitangan Windows on the World tetapi bukan Hernandez sebaliknya seorang jurutera bunyi, Jonathan Briley.

Kali ini, Pengurus Windows on the World dan keluarga Briley bersetuju bahawa pakaian yang dipakai mangsa dalam gambar tersebut adalah sama seperti yang selalu dipakai Briley.

“Ketika kali pertama saya melihat gambar itu, saya melihat seorang lelaki, tinggi, kurus dan saya berkata, ini mungkin Jonathan,’’ kata adiknya mangsa, Gwendolyn kepada The Sunday Mirror.

Hari ini Falling Man’mewakili bukan sahaja takdir seorang lelaki pada hari kejadian tetapi semua mangsa yang memilih untuk terjun daripada bangunan itu dan satu persoalan pada diri mereka yang melihat tragedi itu dari jauh, apakah yang akan mereka lakukan jika berada dalam situasi yang sama.

Kata Drew, dia tidak pernah menyesal merakamkan gambar berkenaan kerana gambar itu adalah satu-satunya yang memaparkan tentang kematian manusia pada hari kejadian.

“Kita diserang pengganas di tanah air sendiri dan kita masih tidak mempunyai gambar yang menunjukkan mangsa yang mati,’’ kata Drew yang menegaskan kebanyakan gambar hanya memaparkan kemusnahan menara tersebut dan bukannya penderitaan orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini