KUALA LUMPUR 2 Mei – Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner ketika ini sedang menghabiskan baki cutinya sebelum tamat kontrak pada 1 Julai depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Zahrah telah menyerahkan surat rasmi itu kepada beliau pada pertengahan bulan lalu.
“Beliau ketika ini sedang bercuti. Beliau menulis kepada saya untuk bercuti.
“Sekarang tugas beliau sedang dijalankan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 9 Januari lalu, SPRM telah merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai melibatkan dakwaan skandal projek SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta di ibu pejabat SSM.
Kesemua dokumen tersebut dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus yang diperkatakan sebelum ini, kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.
Susulan itu, dua kotak lagi mengandungi sebanyak 71 kotak dokumen turut dirampas SPRM pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











