PUTRAJAYA 9 Mei – Cadangan pindaan Jadual Ketujuh, Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta Atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 akan dibincangkan dalam mesyurat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (MTKSHN)
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah mengemukakan memorandum cadangan pindaan Jadual Ketujuh tersebut kepada Jemaah Menteri pada 24 April lalu.
Beliau berkata, memorandum itu adalah bagi tujuan pelarasan kadar fi perundingan dan tatacara bagi pengamal perubatan am yang memberikan perkhidmatan di klinik perubatan am swasta, dengan kadar fi bagi pengamal perubatan am yang bertugas di fasiliti berlesen.
Pelarasan kadar itu seperti di dalam Jadual Ketiga Belas, Peraturan-Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta Dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) [Pindaan] 2013, katanya.
“Sementara Jemaah Menteri memahami keperluan dan rasional cadangan pindaan tersebut, mesyuarat mencadangkan supaya perkara ini dibincangkan terlebih dahulu di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara, seterusnya dibentangkan semula untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, di samping itu, beliau akan mempengerusikan satu sesi perjumpaan dengan pemegang-pemegang taruh terlibat bagi menjelaskan perkara ini (pindaan Jadual
Ketujuh) serta merungkaikan beberapa dakwaan yang berkaitan.
“Selain itu, saya juga akan membincangkan isu-isu lain berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta. Tarikh perjumpaan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











