KUALA LUMPUR 14 Mei – Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Selasa dengan 29 saham komponen KLCI diniagakan pada paras rendah, menjejaki prestasi suram global selepas China mengumumkan cadangan mengenakan tarif lebih tinggi ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bernilai A$60 bilion.
Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 26.49 mata kepada 1,574.60 daripada 1,601.09 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka 20.24 mata lebih rendah pada 1,580.85.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 491 berbanding 41, dengan 122 kaunter tidak berubah, 1,255 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 306.4 juta saham bernilai RM152.02 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata perang perdagangan AS.-China yang semakin memuncak telah menjejaskan sentimen pasaran dengan ekuiti global bertindak balas secara negatif terhadap perkara itu dalam tempoh semalaman.
“Memandangkan sentimen pasaran saham-saham Malaysia sudah terjejas dengan jualan asing berterusan sejak tahun lepas yang turut menyebabkan FBM KLCI mencatatkan prestasi lemah.
“Ketidaktentuan pasaran yang berterusan akan mendorong indeks utama untuk semakin merosot berikutan minat belian baharu kekal kurang memberangsangkan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan prospek pertumbuhan pendapatan yang perlahan,” katanya dalam nota hari ini.
Ia berkata kelemahan pasaran akan memberikan kesan lebih ketara ke atas saham barisan kedua dan pasaran saham secara menyeluruh kerana lebih banyak pemain runcit akan tidak memasuki pasaran.
Sehubungan itu, Malacca Securities berpendapat FBM KLCI masih dinilai dengan adil berikutan nisbah harga kepada pendapatan (PER) masih berada dalam julat sejarahnya, dengan itu terdapat sedikit ruang bagi pemulihan kukuh. – BERNAMA











