MONTMELO, Sepanyol 11 Mei – Pendahulu kejuaraan dunia Formula 1 (F1), Valtteri Bottas melengkapkan hatrik untuk menempah petak utama, hari ini, apabila dia mengetepikan rakan sepasukannya dalam Mercedes, Lewis Hamilton dalam pertarungan sengit pada sesi kelayakan Grand Prix Sepanyol.
Pemandu Finland itu, yang mendahului juara dunia lima kali, Hamilton dengan hanya dipisahkan satu mata dalam perebutan gelaran, musim ini, melengkapkan hatrik tersebut selepas mendominasi saingan kelayakan di China dan Azerbaijan.
Bottas mencatat masa terpantas dengan rekod litar sepusingan 1 minit 15.406 saat (s) bagi melengkapkan aksi kelayakan itu 0.6s lebih laju berbanding rakan sepasukannya dalam perebutan tempat 10 terbaik di Litar de Catalunya.
Dengan Hamilton di tempat kedua, ini bermakna Mercedes sekali lagi akan memulakan perlumbaan, esok, pada petak satu, dua dan pertarungan merebut gelaran dunia tahun ini mungkin membabitkan dua pemandu Silver Arrows dengan Bottas kini menikmati momentum yang baik.
Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dari Ferrari berada di kedudukan ketiga di depan pelumba Red Bull, Max Verstappen dan kemudian diikuti rakan sepasukannya, Charles Leclerc yang memandu jentera kedua Ferrari di tempat kelima, manakala Pierre Gasly dari Red Bull di tangga keenam.
Romain Grosjean pula melengkapkan aksinya di tempat ketujuh, mengatasi rakan sepasukannya dalam Haas, Kevin Magnussen, sementara pemandu Rusia, Daniil Kvyat dari Toro Rosso dan pelumba Renault, Daniel Ricciardo masing-masing di tangga kesembilan serta ke-10.
“Saya benar-benar seronok dengan aksi tadi. Saya dapat berasakan adrenaline di dalam tubuh saya sewaktu melakukan pusingan. Saya sangat gembira. Musim ini, bermula dengan lancar seperti mana yang saya harapkan dan saya berasa positif sewaktu di dalam jentera,” kata Bottas. – AFP











