KLANG 9 Mei – Gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah ini sejak Ahad lalu mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat apabila mereka menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan yang terjejas.
Walaupun tanggungjawab memadamkan kebakaran, masalah dihadapi penduduk itu mendapat perhatian apabila mereka menghulurkan bantuan 60,000 liter air.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, operasi kemanusiaan itu dilakukan beberapa Balai Bomba dan Penyelamat daerah ini bermula pukul 4 petang semalam hingga 2 pagi tadi.
Menurutnya, antara kawasan yang menerima bantuan termasuk di Batu 2, Jalan Rantau, Kampung Perepat, Taman Peremat Makmur, Bandar Puteri dan Jalan Kebun.
“Penghantaran air dilakukan secara pukal iaitu di kawasan masjid dan surau, sekolah selain individu yang membawa baldi atau tong air.
“Kita memberikan bantuan susulan permintaan orang ramai terhadap bantuan khidmat kemanusiaan daripada bomba. Penghantaran ini tidak menganggu operasi bomba di sekitar kawasan ini termasuk daripada segi bekalan air,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Samsol, pihaknya hanya membantu pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) membekalkan bekalan air kepada penduduk terjejas agar dapat membantu urusan harian terutama di bulan Ramadan.-UTUSAN ONLINE











