TAMPIN – Seramai enam pendaki berjaya ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan awal pagi ini selepas mereka dilaporkan hilang petang semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Penolong Penguasa Bomba S. Dulasi Nathan berkata, seramai tiga lelaki dan tiga wanita itu tersesat semasa mendaki Gunung Tampin dekat sini.
“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.12 petang semalam dan tiba di lokasi kira-kira 29 minit kemudian.
“Seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dikerahkan memberi bantuan dan operasi mencari mangsa tamat pada pukul 1.17 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dulasi Nathan berkata, salah seorang pendaki terbabit yang merupakan warga asing mengalami kekejangan otot dan diberi rawatan awal sebelum dibawa turun dari gunung itu.
Menurut beliau, pendaki terbabit termasuk seorang lelaki warga India, seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura berusia antara 25 hingga 50 tahun. – K! ONLINE











