IPOH 30 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak memberi fokus empat kawasan plaza tol di negeri ini sebagai langkah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kemalangan jalan raya semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, pihaknya akan bersiap sedia dalam masa 24 jam di empat tol berkenaan iaitu di Plaza Tol Tapah, Plaza Tol Kuala Kangsar, Plaza Tol Taiping dan Plaza Tol Slim River.
“Perak mempunyai jajaran jalan raya yang paling panjang sekali dari utara berdekatan Pulau Pinang sehingga ke selatan bersempadan dengan negeri Selangor.
“Empat kawasan tol berkenaan merupakan ‘hot spot’ yang sering berlaku kemalangan maut, jadi saya yakin dengan persediaan ini, kita mampu untuk menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin.
Pada majlis tersebut, Kor Ming turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan JBPM Perak. – UTUSAN ONLINE











