KUALA LUMPUR 9 Mei – Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) yakin pertumbuhan pinjaman bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2019 akan mengatasi purata industri walaupun pada paras sederhana antara enam dan tujuh peratus.
Data perbankan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menunjukkan pertumbuhan pinjaman susut kepada 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2019 daripada lima peratus pada Februari.
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, prestasi BIMB pada suku pertama yang akan diumumkan bulan ini dijangka memberangsangkan.
“Segmen perbankan pengguna masih menjadi bahagian terbesar pertumbuhan dan bagi setahun penuh 2019, ia akan terus memacu prestasi BIMB,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Beliau berkata, perniagaan perbankan pengguna BIMB kini mewakili 60 peratus daripada keseluruhan aset dan 75 peratus daripada pembiayaan.
Bagi tahun kewangan 2018, keuntungan sebelum zakat dan percukaian BIMB meningkat 5.6 peratus kepada RM810.3 juta daripada RM767.1 juta sebelumnya.











