KUALA LUMPUR 22 Mei – Jika anda lazim berkunjung ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bagi membuat persiapan raya, pasti terasa kelainannya kali ini apabila suasana di pusat tumpuan membeli-belah itu disifatkan pengunjung dan peniaga sebagai kurang meriah meskipun pada cuti umum Nuzul Quran.
Situasi itu cukup berbeza berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya dengan jalan tersebut pastinya dibanjiri warga kota, malah dari luar wilayah ini untuk membeli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, lokasi itu tetap menjadi pilihan para pengunjung tegar untuk membeli barangan seperti pakaian, langsir, beg, kasut dan sebagainya.
Menurut, Shahirah Mat Jais, 25, keadaan di Jalan TAR kurang pengunjung berbanding tahun lalu.
“Setiap tahun pasti akan berkunjung ke sini untuk membeli-belah persiapan raya, cuma kali ini terasa kawasan ini kurang meriah.
“Mungkin, disebabkan cuti umum hanya sehari, tetapi bagus juga kerana tidak perlu bersesak-sesak,” katanya ketika ditemui Utusan Online hari ini.
Sementara itu, menurut seorang pengunjung, Mazlida Mahadi, 42, Jalan TAR terus menjadi pilihan kerana terdapat kemudahan tempat letak kereta yang banyak serta behampiran dengan stesen Monorel.
“Saya jangkakan kesesakan mungkin berlaku jika saya membeli-belah pada hujung minggu jadi cuti hari ini perlu dimanfaatkan.
“Jalan TAR terus menjadi pilihan kerana selain terdapat banyak kedai, kemudahan tempat letak kereta juga lebih baik berbanding Dataran Merdeka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










