Berkongsi rezeki jual beras murah - Utusan Malaysia

Berkongsi rezeki jual beras murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA 21 Mei – Falsafah perniagaan untuk mahu mencari keuntungan biasanya tidak dapat lari bagi setiap peniaga.

Namun tidak bagi seorang peniaga beras di sini yang memilih untuk menjual makanan ruji itu pada harga yang lebih murah daripada pasaran bagi mencari keberkatan.

Inisiatif diambil Mohd. Norazim Abd. Razak, 33, itu juga bertujuan supaya beliau dapat berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan terutamanya di kawasan luar bandar untuk membeli beras.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Pengarah Urusan Trubiz Advance Resources itu, sasaran pelanggannya adalah mereka yang bekerja kampung seperti pesawah dan penoreh getah untuk membeli beras muatan 10 kilogram dengan harga RM22 berbanding harga pasaran RM26.

“Walaupun keuntungan yang saya perolehi sedikit tetapi saya rasa puas apabila dapat melihat golongan kurang berkemampuan datang membeli beras kerana dengan cara ini saya dapat berkongsi rezeki dengan orang miskin.

“Lagipun memang niat saya untuk memberi infaq atau menderma sejak memulakan perniagaan ini pada September tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Jenan, di sini hari ini.

Mengulas pembabitannya dalam perniagaan itu, Mohd. Norazim berkata, impiannya itu direalisasikan setelah mendapat lesen daripada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negeri serta bekalan daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Katanya, dengan bantuan pemasaran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dia mula memasuki pasaran di kampung-kampung melalui kiosk promosi di pasar tani dan agrobazar anjuran agensi itu.

“Awal-awal berniaga dahulu saya hanya mampu menjual kira-kira lima tan beras dalam tempoh sebulan, namun selepas tiga bulan jualan kini sudah mencecah antara 20 hingga 30 tan sebulan.

“Saya juga sudah membuka sebuah cawangan di Kuala Nerang bagi memastikan jualan beras di situ sampai kepada golongan sasar dan menyasarkan enam lagi cawangan dibuka di setiap daerah menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Tambah Mohd. Norazim, dia sangat berharap lebih ramai peniaga dapat melakukan perkara sama untuk membantu golongan asnaf selain mengejar ganjaran di akhirat kelak.

“Tujuan saya berniaga bukanlah untuk memberi persaingan kepada peniaga beras yang lain, saya mempunyai golongan sasar saya sendiri sebab itu saya berniaga di kawasan luar bandar sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini