Bekas bendahari Kelab Sukan didakwa pecah amanah lebih RM26,000 - Utusan Malaysia

Bekas bendahari Kelab Sukan didakwa pecah amanah lebih RM26,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Bekas bendahari Kelab Sukan Dan Kebajikan Jabatan Akauntan Negara Malaysia Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah RM26,379.95 dua tahun lalu. 

Tertuduh, Roziana Mohd. Dahalan, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah apabila menyalahgunakan wang simpanan kelab untuk kegunaan sendiri berjumlah RM26,379.95 yang ditunaikan melalui cek di Affin Bank cawangan Ipoh Garden di sini antara 9 Januari hingga 3 Oktober 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh yang ketika itu merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai Ketua Unit Wang Tak Dituntut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Syahrul Nizam Mohd. Radhi. Pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Terdahulu, dalam rayuan terhadap anak guamnya, Ahmad Syahrul Nizam memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah memandangkan tertudug merupakan seorang ibu yang menanggung dua anak yang sedang bersekolah selain penjawat awam yang tidak pernah melakukan kesalahan undang-undang sebelum ini.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini