Bekalan air terjejas ekoran tanah runtuh - Utusan Malaysia

Bekalan air terjejas ekoran tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 25 Mei – Sebanyak 2,300 akaun pengguna di beberapa kawasan di Wilayah Barat Taiping berdepan masalah bekalan air ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Trong, semalam.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd. Yusof Mohd. Isa berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu juga mengakibatkan paip yang menyalurkan air mentah dari loji tersebut patah dan gagal berfungsi.

Katanya, antara kawasan yang terjejas adalah seluruh kawasan Trong, Changkat Jering, Bukit Gantang, Bukit Berapit, Changkat Ibol dan kawasan berhampiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak LAP telah mengambil langkah sewajarnya bagi membaik pulih kerosakan selain melakukan pengezonan semula dengan membekalkan air dari LRA Air Terjun kepada pengguna.

“Langkah itu membolehkan beberapa kawasan seperti Pekan Trong untuk kembali menerima bekalan air.

“Begitu pun, masih terdapat kira-kira 2,300 akaun pengguna yang mengalami gangguan bekalan melibatkan penduduk di kawasan Changkat Ibol, Bukit Gantang, Kampung Kubu dan Kampung Pauh,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, bekalan air ke kawasan tersebut dijangka akan kembali pulih dalam tempoh dua hari.

“Pihak LAP akan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori-lori tangki sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini