KUALA LUMPUR 17 Mei – Gangguan bekalan air di kawasan Shah Alam yang terjejas telah pulih 94 peratus sehingga pukul 6 pagi tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bagaimanapun pembaikan masih dijalankan di Seksyen 7 yang masih belum pulih sepenuhnya.
Ia berikutan terdapat pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kerosakan peralatan salah satu pam utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
“Usaha untuk mempercepatkan kerja pemulihan ke seluruh kawasan akan diteruskan.
“Oleh itu, kerjasama pengguna sepanjang tempoh pemulihan ini amatlah dihargai.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pusat khidmat setempat masih terus beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya dan pengguna boleh menghubungi talian 15300 atau Whatsapp ke 019-2816793 atau 019-2800919 untuk bantuan. – UTUSAN ONLINE











